SHANGHAI: China melaporkan sebanyak 27,095 jangkitan baharu COVID-19 pada Ahad berbanding 24,435 kes yang dicatat pada Sabtu.

Suruhanjaya Kesihatan Kebangsaan melaporkan, daripada jumlah itu 26,824 merupakan kes penularan tempatan.

Dua kes kematian dicatat pada Ahad menjadikan jumlah keseluruhan 5,229 kes.

Setakat Ahad, jumlah keseluruhan kes COVID-19 di China melonjak kepada 288,562 kes.

Ibu negara Beijing melaporkan 154 kes simptomatik manakala 808 kes bukan simptomatik, menurut data kerajaan.

Shanghai pula melaporkan enam kes simptomatik dan 33 kes bukan simptomatik.

Guangzhou, bandar di selatan negara itu dengan populasi 19 juta penduduk, melaporkan 296 kes simptomatik manakala 7,885 kes bukan simptomatik.

Di Chongqing, 231 kes simptomatik jangkitan tempatan dicatat manakala 5,898 kes merupakan bukan simptomatik.