SHANGHAI pada Jumaat melaporkan kes baharu COVID-19 di luar kawasan yang dikuarantin, selepas lima hari merekodkan sifar kes.

Ia sekali gus mencetuskan kemungkinan akan berlaku sekatan dan ujian saringan besar-besaran di satu-satu daerah.

Bagaimanapun, difahamkan, penutupan yang dilanjutkan sebelum ini dan dijadual berakhir pada 1 Jun, akan tetap dilaksanakan.

Hub komersial dengan 25 juta penduduk itu merekodkan tiga kes baharu dalam kalangan keluarga sama di daerah Qingpu.

Menurut pihak berkuasa, kesemua mereka sudah menerima vaksinasi dan jangkitan dikesan semasa melakukan saringan biasa.

Ketiga-tiga mereka masih belum meninggalkan daerah tersebut untuk tempoh 14 hari lepas, namun ada yang mengunjungi kawasan awam.

Susulan itu, lebih 200,000 orang digesa melakukan ujian saringan.