JOHANNESBURG: Seorang doktor Afrika Selatan yang merupakan antara yang pertama merawat pesakit yang dijangkiti varian Omicron berkata bahawa simptom akibat varian tersebut setakat ini ringan dan boleh dirawat di rumah.

Dr Angelique Coetzee, seorang pengamal perubatan swasta dan pengerusi Persatuan Perubatan Afrika Selatan, memberitahu Reuters bahawa pada 18 November lalu, dia menyaksikan tujuh pesakit di kliniknya yang mempunyai gejala berbeza daripada varian Delta yang dominan, walaupun "sangat ringan".

Dr Coetzee berkata seorang pesakit juga telah datang ke kliniknya pada tarikh tersebut dan mengadu berasa "sangat letih" selama dua hari dengan sakit badan dan sakit kepala.

"Gejala pada peringkat itu sangat berkaitan dengan jangkitan virus biasa. Dan kerana tiada (pesakit) COVID-19 (di sini) sejak lapan hingga 10 minggu yang lalu, kami memutuskan untuk melakukan ujian," katanya sambil menambah bahawa pesakit itu dan keluarganya disahkan positif COVID-19.

Namun, pada hari yang sama, lebih ramai pesakit datang dengan simptom yang sama, membuatkan dia sedar ada "sesuatu yang sedang berlaku."

Sejak itu, dia menyaksikan dua hingga tiga pesakit COVID-19 sehari di kliniknya.

"Kami telah menyaksikan ramai pesakit varian Delta semasa gelombang ketiga. Dan ini tidak menepati gambaran klinikal," katanya.

Menurut Dr Coetze, dia juga telah memaklumkan Pusat Kebangsaan bagi Penyakit Berjangkit (NICD) pada hari yang sama dia mendapat keputusan klinikal tersebut.

"Kebanyakan daripada mereka mengalami simptom yang sangat, sangat ringan dan setakat ini tiada seorang pun yang dimasukkan ke wad untuk menjalani pembedahan. Kami dapat merawat pesakit ini secara konservatif di rumah," katanya.

Dr Coetzee, yang juga dalam Jawatankuasa Penasihat Menteri mengenai Vaksin, berkata tidak seperti Delta, setakat ini pesakit tidak melaporkan kehilangan bau atau rasa dan tiada penurunan besar dalam paras oksigen dengan varian baharu itu.

Pengalamannya setakat ini ialah varian itu mempengaruhi orang yang berumur 40 tahun atau lebih muda.

Katanya, hampir separuh daripada pesakit dengan gejala Omicron yang dirawatnya tidak divaksin.

"Aduan yang paling banyak diterima ialah keletihan yang teruk selama satu atau dua hari, berserta sakit kepala dan sakit badan,” jelasnya.

Berita mengenai varian baharu yang muncul dari Afrika Selatan itu mencetuskan reaksi beberapa negara, termasuk Britain, yang pada hari Jumaat mengenakan larangan perjalanan ke atas beberapa negara Afrika Selatan berkuat kuasa serta-merta.

Sejak Jumaat, banyak negara turut melarang perjalanan udara ke dan dari Afrika Selatan, termasuk Amerika Syarikat, negara Eropah lain dan beberapa negara Asia.