HONG KONG: Polis Hong Kong akan mengambil tindakan terhadap mereka yang cuba menghalang orang ramai daripada menyerahkan hamster mereka untuk dilupuskan.

Ia susulan arahan kerajaan untuk melupuskan hamster bagi mengekang penularan COVID-19.

Selasa lalu, pihak berkuasa mengarahkan pelupusan kira-kira 2,000 hamster di puluhan kedai haiwan selepas mengesan wabak itu menjangkiti seorang pekerja di mana 11 ekor hamster yang dijual, disahkan positif COVID-19.

Kumpulan sukarelawan, aktivis dan pencinta haiwan menawarkan khidmat menjaga hamster yang mahu dibuang pemilik.

Jabatan Pertanian, Perikanan dan Pemuliharaan (AFCD) berkata sebarang usaha untuk menyelamatkan hamster akan dikendalikan mengikut garis undang-undang.

"Sekiranya mereka meneruskan tindakan sedemikian, AFCD akan membuat tindakan susulan dan menyerahkannya perkara ini kepada polis untuk dikendalikan," kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Kerajaan berkata kesemua hamster yang ingin dilupuskan 'diberi layanan baik' dan menyeru orang ramai bersatu hati dalam memerangi penularan COVID-19.

BACA: COVID-19 cetus panik, ribuan sukarelawan di Hong Kong tawar diri jaga hamster dari dilupus

Tidak seperti kebanyakan negara lain, Hong Kong mengambil langkah "sifar COVID" yang tertumpu pada penghapusan penyakit itu, sekolah dan gimnasium ditutup, premis perniagaan ditutup pada jam 6 petang dan perjalanan menerusi udara terputus atau terganggu teruk.

Negara itu sebelum ini turut menjalankan ujian terhadap arnab dan chinchilla, tetapi hanya hamster yang dikesan positif COVID-19.

Kesemua hamster itu diimport dari Belanda, lapor agensi RTHK.