BANGKOK: Thailand hari ini menggesa semua wanita hamil untuk mendapatkan vaksin COVID-19 kerana jumlah ibu mengandung yang belum divaksinasi dijangkiti virus kian meningkat.

Jurucakap Pusat Pentadbiran Situasi COVID-19 (CCSA) Dr Taweesin Visanuyothin berkata, kadar vaksinasi dalam kalangan wanita hamil yang usia kandungan sekurang-kurangnya 12 minggu, amat rendah iaitu hanya 7.5 peratus atau 37,357 daripada 500,000 orang.

Beliau berkata hanya 3,533 atau 0.7 peratus sahaja yang lengkap dua dos.

"Sehingga kini, kira-kira 2,542 ibu hamil telah dijangkiti COVID-19 dan 68 kematian dilaporkan.

"Kadar wanita hamil yang dijangkiti COVID-19 telah meningkat sejak Jun," katanya pada taklimat harian COVID-19 di sini pada Isnin.

Sementara itu, menurut jurucakap kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana, Thailand akan mendapatkan tambahan 9.9 juta dos vaksin COVID-19 Pfizer-BioNTech.

Beliau berkata, Kabinet hari ini meluluskan 4.7 bilion baht bagi mendapatkan vaksin mRNA tambahan untuk kumpulan berisiko tinggi termasuk pesakit yang mempunyai masalah kesihatan, wanita hamil, dan kanak-kanak berusia antara 12 hingga 17 tahun.

Terkini, kabinet meluluskan pembelian 100 juta dos vaksin COVID-19 termasuk 61 juta dos AstraZeneca, Sinovac (19 juta dos) dan Pfizer-BioNTech (20 juta dos).

Sejak vaksinasi dimulakan pada 28 Februari, Thailand telah menyuntik 30.95 juta dos termasuk 585,758 dos tambahan atau 'booster'.

Sepanjang 24 jam lalu, Thailand mencatatkan 15,972 kes baharu COVID-19 dan 256 kematian, menjadikan jumlah jangkitan keseluruhan meningkat kepada 1.19 juta dan 11,399 kematian.

Taweesin berkata kadar kematian dalam negara adalah 0.97 peratus.

-- BERNAMA