GEORGIA: Pelajar-pelajar sekolah menjadi perhatian minggu ini di Amerika Syarikat (AS) apabila negara itu memasuki fasa baharu dalam program vaksinasi COVID-19 yang bertujuan mengekang kematian dan kemasukan ke hospital serta mengelakkan gangguan pendidikan.

Rata-rata kanak-kanak yang diberikan suntikan di negara Uncle Sam itu merindui aktiviti-aktiviti bersama rakan-rakan mereka.

Turut memberikan reaksi positif adalah ibu bapa yang mengalu-alukan perluasan vaksinasi kepada anak-anak mereka bagi melindungi daripada virus berbahaya itu.

Pusat perubatan kebangsaan kanak-kanak di Washington mula menawarkan vaksin Pfizer kepada kanak-kanak berumur 5 hingga 11 tahun dengan keadaan kesihatan tertentu.

Pihak berkuasa menjanjikan bekalan yang mencukupi untuk melindungi 28 juta populasi kanak-kanak di AS.

Vaksin kepada kanak-kanak memerlukan dos rendah dan dua suntikan dengan sela masa selama tiga minggu.

Kanak-kanak yang mendapat vaksin sebelum hari kesyukuran akan dilindungi sepenuhnya menjelang Krismas.