BANGKOK: Thailand mencatatkan 8,263 kes jangkitan COVID-19 baharu dan 14 kes kematian dalam tempoh 24 jam, lapor Kementerian Kesihatan Awam negara itu.

Portal BangkokPost melaporkan, angka kes baharu itu melonjak sebanyak 737 kes berbanding 7,526 kes pada hari sebelumnya (Jumaat).

Terdapat 7,802 kes dalam populasi awam manakala 110 adalah dalam kalangan penghuni penjara.

Sejak pandemik bermula pada awal 2020, jumlah akumulatif kes COVID-19 di Negara Gajah Putih itu adalah sebanyak 2,261,039 kes, dengan kebanayakan daripadanya terjadi sejak April tahun lalu ketika gelombang ketiga koronavirus melanda negara itu.

Angka kematian adalah 21,719 semasa gelombang ketiga dan 21,813 jika dikira sejak pandemik bermula.
Pada masa yang sama, Thailand akan menyambung tempoh penggantungan program bebas kuarantin dan bakal memperkenalkan beberapa sekatan baharu susulan lonjakan kes tersebut, kata pasukan khas pengurusan COVID-19.

Pemohon baharu bagi skim ‘uji dan pergi’ bagi tujuan memasuki Thailand tidak akan diluluskan sehingga tarikh yang akan ditetapkan kemudian, demi mengawal penularan COVID-19, kata jurucakap pasukan itu, Taweesin Visanuyothin.

Itu termasuk beberapa destinasi dalam skim pelancongan bersasar atau program ‘sandbox’ yang pernah diumumkan tahun lalu.

Bagaimanapun, pemohon yang sedia ada masih boleh memasuki Thailand tanpa kuarantin sehingga 15 Januari ini.

“Kita masih boleh membuat perubahan bergantung pada situasi. Tapi buat masa ini, kita masih hendak mengetahui lebih banyak tentang Omicron,” ujar Taweesin.

Sehingga kini, populasi Thailand sudah lengkap vaksinasi baru mencapai 64.8 peratus.