SEOUL: Korea Selatan akan melonggarkan pemakaian pelitup muka di kawasan terbuka mulai minggu depan susulan penurunan kes jangkitan COVID-19 dan kemasukan ke hospital.

Pihak berkuasa kesihatan di Sejong berkata, mulai Isnin, pelitup muka hanya akan diperlukan pada perhimpunan lebih daripada 50 orang termasuk acara sukan dan kebudayaan.

Pelitup muka juga masih diperlukan di premis tertutup dan pengangkutan awam.

Terdapat 63,000 kes baharu dalam tempoh tujuh hari lalu iaitu penurunan daripada ratusan ribu pada pertengahan Mac akibat daripada varian Omicron.

Kemasukan ke hospital dan kematian juga semakin perlahan di negara itu.

Pesuruhjaya Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan, Jeong Eun-Kyeong berkata, penurunan jangkitan walaupun dengan pengurangan penjarakan fizikal menunjukkan wabak di negara itu semakin stabil.

Beliau berkata pihak berkuasa kesihatan menyimpulkan adalah selamat untuk melonggarkan pelitup muka kerana risiko penularan jauh lebih rendah di luar rumah.

Namun, Jeong mengesyorkan agar orang ramai tetap memakai pelitup muka di luar rumah jika mereka mengalami simptom seperti batuk atau demam atau berada di kawasan sesak seperti taman tema yang sukar untuk mengekalkan jarak dengan orang lain.