COVID-19: Lebih 31.4 juta kes positif direkod di seluruh dunia

Astro Awani
September 22, 2020 23:05 MYT
Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi 31.4 juta kes. -Gambar fail
Jumlah kumulatif kes positif COVID-19 di seluruh dunia kini melepasi 31.4 juta kes.
Ini berikutan 200,000 jangkitan baharu direkodkan dalam tempoh 24 jam.
Data terbaharu Johns Hopkins University menunjukkan Amerika Syarikat (AS) kekal sebagai negara paling teruk terjejas dengan 6.88 juta kes jangkitan.
Ini diikuti India dengan 5.56 juta kes, manakala Brazil merekodkan 4.55 juta kes.
Jangkitan COVID-19 di Rusia pula melepasi angka 1 juta kes.
Sementara itu, Peru, Colombia, Mexico, Afrika Selatan, Sepanyol dan Argentina melepasi angka setengah juta kes.
Negara yang melepasi angka 300,000 termasuk Perancis, Chile, Iran, United Kingdom, Bangladesh, Arab Saudi, Iraq, Pakistan dan Turki.
Negara merekodkan angka positif melebihi 250,000 termasuk Itali, Filipina, Jerman dan Indonesia.
Dalam pada itu, negara yang melepasi angka 100,000 ialah Ukraine, Kanada, Bolivia, Qatar, Ecuador, Kazakhstan, Romania, Panama dan Mesir.
Negara lain masih merekodkan angka positif di bawah 100,000.
#Amerika Syarikat #Colombia #COVID-19 #Indonesia #Johns Hopkins University #kes positif #koronavirus #sepanyol #United Kingdom