WALAUPUN pihak berkuasa Korea Selatan menarik semula arahan pemakaian pelitup muka di luar mulai Isnin (2 Mei), masih ramai yang mengenakannya sebagai langkah berjaga-jaga.

Tinjauan mendapati, orang ramai masih memakainya terutama di daerah yang sibuk seperti Gwanghwamun, lokasi di mana terletaknya kebanyakan bangunan kerajaan dan korporat. 

Selain untuk tujuan keselamatan, mereka yang masih memakai pelitup muka berasa janggal untuk membuka pelitup muka selepas mengenakannya selama lebih dua tahun.

"Saya cuba untuk tidak memakai pelitup muka ketika keluar rumah tetapi 70-80 peratus orang yang saya temui di luar masih memakainya.

"Mungkin terlalu awal untuk menanggalkannya walaupun ketika berada di luar," kata seorang penduduk, Lee Byung-young, 61 tahun.

Sejak lebih dua tahun, pemakaian pelitup muka adalah sebahagian daripada prosedur operasi standard (SOP) yang disyorkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) bagi mengekang penularan COVID-19.

Langkah memansuhkan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka itu, dalam peralihan ke fasa seterusnya, diambil selepas kes jangkitan baharu yang direkodkan di negara itu mula berkurangan. 

Menurut Agensi Kawalan dan Pencegahan Penyakit Korea Selatan (KDCA), 20,084 individu dilaporkan positif COVID-19 pada Ahad, dengan kes jangkitan harian terus menurun berbanding lebih 620,000 pada pertengahan Mac.

Negara berpopulasi 52 juta penduduk itu berjaya mengekang kes COVID-19 tidak melebihi 17,295,733 jangkitan dengan 22,958 kematian.

Ia dilakukan menerusi langkah pengawalan termasuk kempen pengesanan dan ujian saringan yang agresif serta  vaksinasi yang meluas.