WASHINGTON: Negeri-negeri di Amerika Syarikat (AS) sudah membuat tempahan awal vaksin COVID-19 bagi kanak-kanak.

Dalam satu kenyataan, White House memaklumkan berjuta-juta dos akan mula dihantar sebaik pengawal selia kesihatan negara itu memberi kelulusan penggunaannya.

Vaksin Pfizer-BioNTech hanya boleh digunakan oleh kanak-kanak berumur 5-11 tahun selepas pengundian oleh panel pakar kesihatan untuk Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan (FDA) memberi kelulusan.

Sekiranya FDA membenarkan penggunaan vaksin bagi golongan ini, panel penasihat kepada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) pula akan bermesyuarat bagi langkah kelulusan seterusnya.

Syarikat Pfizer juga memaklumkkan, susulan kebenaran diberikan, pihaknya akan mula menghantar formula pediatrik bagi vaksin COVID-19 dengan kadar segera seperti diarahkan oleh kerajaan.

Secara purata, kes COVID-19 di AS turun 16 peratus kepada 65,900 kes sehari.

Kadar kemasukan ke hospital selama tujuh hari juga turun 12 peratus kepada 5,500 sehari, manakala kematian juga menurun dengan purata harian 1,100 sehari.

Terdapat 60 juta rakyat AS yang layak namun masih belum divaksinasi.