WELLINGTON: New Zealand akan mewajibkan guru dan pekerja di sektor kesihatan dan kurang upaya diberikan vaksin COVID-19.

Perkara itu dimaklumkan perdana menterinya, Jacinda Ardern ketika mengumumkan lanjutan sekatan pergerakan di Auckland selama seminggu.

New Zealand ketika ini sedang memerangi varian Delta yang memaksa negara itu menukar strategi untuk menghapuskan jangkitan baharu melalui vaksinasi yang lebih tinggi.

Ardern berkata New Zealand berada dalam keadaan yang sukar dan mencabar dalam pandemik COVID-19 setakat ini.

Beliau bagaimanapun berkata lebih banyak kebebasan akan diberikan selepas negara itu mencapai kadar vaksinasi lebih tinggi.

Kira-kira 2.38 juta rakyat New Zealand telah divaksinasi sepenuhnya atau 57 peratus daripada populasi.

Kerajaan berjanji untuk menghentikan sekatan pergerakan dan penutupan selepas kadar vaksinasi mencapai 90 peratus populasi.

Sementara itu menteri tindak balas COVID-19, Chris Hipkins berkata pekerja sektor kesihatan dan kurang upaya diwajibkan divaksinasi sepenuhnya pada 1 Disember ini.

Manakala bagi kakitangan sekolah termasuk guru perlu melengkapkan vaksinasi dua dos menjelang 1 Januari.

New Zealand merekodkan 35 kes baharu yang kesemuanya di Auckland menjadikan keseluruhan kes sebanyak 1,622.