TOKYO: Pelancong yang tiba di Jepun berisiko dihantar pulang jika gagal mematuhi peraturan pemakaian pelitup muka, sanitasi tangan dan membeli insurans kesihatan persendirian.

Ia berdasarkan garis panduan terkini yang ditetapkan kerajaan Jepun menjelang pembukaan semula sempadan, yang dilaksanakan secara berhati-hati dan berperingkat.

Syarikat pelancongan pula perlu memberi penjelasan mengenai peraturan itu dan hanya menerima tempahan bagi pelanggan yang bersetuju untuk mematuhinya.

Penjelasan itu termasuk amaran bahawa pelancong mungkin diarah meninggalkan Jepun jika gagal mematuhi peraturan berkenaan.

Garis panduan yang diumumkan Agensi Pelancongan Kerajaan Jepun awal minggu ini, adalah sebahagian daripada usaha untuk merancakkan semula kemasukan pelancong selepas sempadan negara itu ditutup sejak awal 2020.

Jepun mula membenarkan kemasukan pelancong lawatan berpakej sejak 10 Jun lalu.

Walaupun jumlah kehadiran akan melonjak sehingga 20,000 pelancong sehari, ia masih sedikit berbanding sebelum pandemik.

Di sebalik gesaan beberapa perniagaan dan ahli parlimen negara itu supaya membatalkan had kemasukan harian, pentadbiran Perdana Menteri Jepun, Fumio Kishida, bertegas dengan pendirian melaksanakan 'peraturan ketat terhadap COVID-19', menjelang Pilihan Raya Dewan Negara bulan depan.

Berdasarkan garis panduan yang diuji bulan lalu menerusi kumpulan pelawat yang terhad, pelancong akan diminta untuk duduk di kerusi yang dikhaskan di dalam restoran.

Ejen pelancongan pula perlu merancang lawatan yang tidak membabitkan orang ramai, merekod pergerakan dan menemani individu yang positif COVID-19 serta kontak rapat ke fasiliti pengasingan.

Jepun hanya membenarkan kemasukan pelancong dari negara dan wilayah mencatatkan jumlah jangkitan yang rendah, terbahagi kepada tiga kategori iaitu merah, kuning dan biru, bergantung pada penilaian risiko virus masing-masing.

Pelawat yang tiba dari 98 negara atau wilayah di dalam senarai biru tidak perlu dikuarantin selagi mana melepas saringan COVID-19 sebelum berlepas.

Manakala senarai kuning perlu menunjukkan bukti vaksinasi untuk tidak dikuarantin.