PENASIHAT Pusat Kawalan Dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS) mengesyorkan penggunaan vaksin COVID-19 untuk bayi hingga kanak-kanak prasekolah, pada Sabtu.

Keputusan sebulat suara dibuat susulan vaksin koronavirus perlu diberikan kepada kanak-kanak seawal usia enam bulan, bagi melindungi kumpulan terakhir yang masih belum divaksin itu.

Kelulusan terakhir dijangka ditandatangani Pengarah CDC Dr Rochelle Walensky pada lewat Sabtu waktu tempatan.

Walaupun Pentadbiran Makanan Dan Ubat-Ubatan (FDA) telah memberikan kelulusan mengenai perkara itu, namun CDC yang akan membuat keputusan muktamad.

Kerajaan AS bersedia untuk memulakan suntikan seawal minggu depan dengan jutaan dos telah dipesan untuk diedarkan kepada hospital dan klinik kesihatan di seluruh negara.

Kira-kira 18 juta bayi dan kanak-kanak berusia enam bulan hingga empat tahun akan layak mendapatkan vaksin COVID-19 Pfizer tersebut.

Bagaimanapun, tidak diketahui bagaimana sambutan daripada ibu bapa mengenai langkah terbaharu berkenaan.

Ia susulan kurang daripada satu pertiga kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun telah mendapatkan vaksin sejak ia dibuka kepada golongan tersebut November lalu.