JUMLAH penggunaan katil di hospital dan unit rawatan rapi (ICU) sekali lagi dilaporkan semakin meningkat di Peru susulan penularan varian Omicron dan varian Delta.

Contohnya, Hospital EsSalud Alberto Sabogal di Lima pada Selasa didapati penuh, sementara pesakit COVID-19 yang memerlukan ventilator juga semakin meningkat.

Menurut seorang petugas di hospital tersebut, Dr Mirko Conde, individu yang tidak divaksinasi memenuhi 50 peratus penggunaan katil di hospital.

Manakala mereka yang divaksinasi mencatatkan 50 peratus lagi namun kebanyakan mereka menunjukan simptom yang lebih ringan.

Walaupun simptom lebih ringan terhadap mereka yang divaksinasi, bekas menteri kesihatan Peru, Dr Patricia Garcia mengesahkan peningkatan kes di negara itu adalah paling tinggi setakat ini.

Malah ia lebih tinggi berbanding gelombang pertama dan kedua di negara itu.

Berdasarkan rekod kerajaan, 66 peratus populasi rakyat negara itu sudah divaksinasi dan Presiden Pedro Castillo berikrar akan memastikan semua rakyatnya divaksinasi menerusi usaha berterusan untuk mengekang pandemik itu.

Peru setakat ini antara negara yang mencatatkan kematian tertinggi akibat virus tersebut dengan lebih 202,000 kematian dan 2.3 juta kes.