SYDNEY: Perintah berkurung di Sydney berakhir selepas hampir empat bulan bagi mengekang penularan COVID-19.

Orang ramai dilihat beratur di luar pub dan bar tepat jam 12 malam semalam selain mengunjungi keluarga dan rakan bagi meraikan kejayaan tersebut.

Ketika sekatan dikenakan di Sydney, orang ramai hanya dibenarkan keluar dalam jarak 5 kilometer.

Namun sekatan itu dilonggarkan kepada individu yang telah lengkap dua dos vaksin COVID-19.

Kini orang ramai boleh menikmati makanan di kafe dan restoran selain mengunjungi gim serta kedai.

Orang ramai turut dilihat beratur panjang di kedai gunting rambut dan salon kecantikan pada Isnin.

Perintah berkurung di bandar terbesar Australia itu tamat selepas New South Wales menyaksikan 70 peratus daripada golongan 17 tahun ke atas lengkap dua dos vaksin.

Beberapa kelonggaran lain bakal diumumkan setelah 80 peratus lengkap dua dos vaksin dicapai. Ketika ini seramai 90 peratus telah mendapat sekurang-kurangnya satu dos suntikan.

"Ia merupakan 100 hari yang amat sukar.

"Namun segala pengorbanan orang ramai dan usaha mereka bagi mendapatkan suntikan vaksin telah membolehkan kita capai kejayaan ini," kata Ketua Menteri NSW Dominic Perrottet pada Isnin.