SYARIKAT Pfizer BioNTech mengemukakan permohonan kepada pihak berkuasa kesihatan Amerika Syarikat (AS) untuk memohon penggunaan kecemasan vaksin COVID-19 keluaran mereka kepada kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun.

Perkara itu dimaklumkan Pfizer menerusi satu hantaran di Twitter pada Khamis.

Permohonan kepada Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan (FDA) AS itu menyusul peningkatan penularan kes dalam kalangan kanak-kanak.

Malah, jumlah jangkitan terhadap golongan itu memuncak pada awal Sept lalu di negara itu.

FDA menetapkan 26 Okt depan bagi penasihat dari luar untuk hadir dan berbincang tentang permohonan Pfizer tersebut.

Kelulusan kecemasan ini dijangka dapat mengurangkan kadar jangkitan apatah lagi selepas sekolah sudah mula dibuka semula.

Untuk rekod, vaksin hasil buatan Pfizer BioNTech sudah diluluskan penggunaannya terhadap kanak-kanak berusia 12 hingga 15 tahun dan diluluskan sepenuhnya kepada remaja berusia 16 tahun ke atas.