SHANGHAI: Shanghai mengetatkan perintah berkurung dalam usaha baharu untuk menghapuskan penularan jangkitan COVID-19 di luar kawasan kuarantin menjelang akhir bulan ini.

Sekatan di seluruh 16 daerah di bandar itu kemungkinan akan berbeza-beza kerana beberapa daerah telah mencapai sasaran.

Sekatan pergerakan secara amnya akan kekal sehingga akhir Mei.

Ini berikutan kebimbangan lonjakan kes walaupun berlaku penurunan jumlah kes dalam wabak koronavirus terburuk di negara itu.

Pendedahan menerusi akaun media sosial penduduk di beberapa daerah serta siaran media sosial menunjukkan kerajaan bandar itu mempercepat dan memperluaskan usaha untuk memindahkan kontak rapat kes positif ke pusat kuarantin.

Beberapa penduduk mendakwa mereka diarah berpindah ke kemudahan itu walaupun dengan keputusan ujian negatif.

Situasi ini nyata mengecewakan.

Ada kalangan penduduk mendakwa tidak dibenarkan meninggalkan kediaman atau ladang mereka.

Mereka juga tidak dibenarkan menerima penghantaran barangan selama seminggu.

Larangan itu adalah sebahagian daripada usaha mencapai matlamat "sifar kes di peringkat komuniti".

Shanghai melaporkan ribuan kes sehari, sebahagian besarnya di kawasan tertutup seperti kemudahan kuarantin pusat, premis dan perumahan.

Pihak berkuasa pada mulanya menyasarkan untuk mencapai matlamat itu menjelang 20 April, tetapi hanya berjaya melakukannya di dua daerah.