JANGKITAN subvarian Omicron XBB.1.5 yang pantas merebak dianggarkan menyumbang 43 peratus daripada kes COVID-19 di Amerika Syarikat (AS) untuk minggu berakhir 14 Januari.

Menurut data daripada Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC), subvarian itu menyumbang kira-kira 30 peratus daripada kes pada minggu pertama bulan Januari, lebih tinggi daripada 27.6 peratus yang dianggarkan oleh CDC minggu lepas.

XBB.1.5 kini merupakan varian yang paling pantas menular dan merupakan cabang daripada varian XBB yang pertama kali dikesan pada bulan Oktober hasil daripada gabungan dua subvarian Omicron yang lain.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) berkata awal minggu ini, XBB.1.5 mungkin merangkumi lebih banyak kes COVID-19 berdasarkan ciri genetik dan anggaran kadar pertumbuhan awal.

Walaupun tidak jelas sama ada XBB.1.5 boleh menyebabkan gelombang jangkitan globalnya sendiri, pakar mengatakan suntikan dos penggalak semasa terus melindungi daripada gejala teruk, kemasukan ke hospital dan kematian.

Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus berkata, subvarian itu telah meningkat di seluruh dunia dan telah dikenal pasti di lebih 25 negara.

Peningkatan dalam varian baharu itu dikaitkan dengan peningkatan kes COVID-19 di AS sejak enam minggu lalu.

Peningkatan kelaziman kes XBB.1.5 telah mengatasi subvarian Omicron BQ.1.1 dan BQ.1 yang sebelumnya dominan dan yang merupakan cabang BA.5.

Kata CDC, kedua-dua mutasi itu bersama-sama menyumbang 44.7 peratus daripada kes di AS pada minggu berakhir pada 14 Januari berbanding dengan 53.2 peratus seminggu yang lalu.