ANKARA: Turki menarik balik satu daripada baki sekatan COVID-19 yang terakhir, iaitu pemakaian pelitup muka di kawasan tertutup, pada Selasa.

Presiden Recep Tayyip Erdogan mengumumkan kelonggaran itu dalam Mesyuarat Lembaga Saintifik yang telah membimbing Turki sepanjang dua tahun wabak itu.

Beliau berkata, lembaga itu tidak akan bersidang semula melainkan wujud keadaan "luar biasa".

Tambahnya, kewajipan menggunakan pelitup muka di dalam ruang tertutup telah dihapuskan sepenuhnya.

Bagaimanapun pemakaian pelitup muka akan diteruskan untuk sementara waktu hanya dalam pengangkutan awam dan institusi kesihatan sehingga jumlah kes jatuh di bawah paras 1,000.

Namun, individu berusia lebih 65 tahun dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan dinasihatkan untuk terus memakai pelitup muka.

Jumlah kes harian telah menurun secara mendadak sejak awal Februari, apabila lebih 110,000 jangkitan direkodkan.

Data pada Isnin dari Kementerian Kesihatan menunjukkan 2,604 kes dan 15 kematian.

Kira-kira 134,000 ujian telah dijalankan.

Pada awal Mac, kerajaan menarik balik peraturan memakai pelitup muka di luar atau di dalam kawasan dengan peredaran udara yang mencukupi dan penjarakan fizikal.

Ia juga menamatkan keperluan orang ramai untuk menunjukkan aplikasi telefon bimbit yang mencatat rekod kesihatan peribadi mereka apabila memasuki tempat seperti pusat membeli-belah.

Kira-kira 53 juta daripada 84.6 juta penduduk Turki telah menerima sekurang-kurangnya dua dos vaksinasi, dengan hampir 28 juta telah menerima dos ketiga.