DATA ujian klinikal daripada AstraZeneca meningkatkan prospek rawatan baharu untuk mencegah COVID-19 menjangkaui vaksin.

Ini sekaligus memberi harapan khususnya bagi mereka yang kurang memberi reaksi terhadap suntikan imunisasi.

Pembuat ubat Britain itu berkata, ubat antibodi terbaharunya mengurangkan risiko individu mengalami sebarang gejala COVID-19 sebanyak 77 peratus dalam ujian klinikal akhir.

Vaksin bergantung pada sistem kekebalan yang utuh untuk mengembangkan perlindungan antibodi yang disasarkan dan sel-sel melawan jangkitan.

Namun ubat AZD7442 AstraZeneca terdiri daripada antibodi buatan makmal yang dibangunkan untuk berada di dalam badan selama beberapa bulan bagi menyekat virus COVID-19 sekiranya berlaku jangkitan.

Menurut syarikat itu 75 peratus peserta ujian klinikal ubat itu mempunyai keadaan kesihatan kronik termasuk beberapa dengan tindak balas imunisasi yang lebih rendah terhadap vaksinasi.

AstraZeneca merupakan syarikat pertama menerbitkan data ujian klinikal di lapangan dan kini menyasarkan kelulusan bersyarat di pasaran utama sebelum akhir tahun ini.

Syarikat itu juga sasar untuk menghasilkan sekitar 1 hingga 2 juta dos menjelang akhir tahun.

Pakar perubatan farmaseutikal di Kings College, London, Prof Penny Ward berkata, berita baik itu memberi harapan kepada mereka yang kurang memberi tindak balas terhadap vaksinasi atau individu yang menjalani pembedahan organ serta mempunyai penyakit imunisasi lain.

Kebimbangan terhadap varian Delta dan keberkesanan vaksin tidak bertahan lama telah mendorong beberapa negara menawarkan suntikan vaksin penggalak atau 'booster' kepada individu berisiko tinggi.