LONDON: Setiausaha Kesihatan Britain sahkan terdapat penularan varian Omicron COVID-19 dalam komuniti di seluruh wilayah England.

Bagaimanapun, menurut Sajid Javid, masih terlalu awal untuk merumuskan sama ada ia akan menjejaskan usaha pemulihan pasca pandemik.

Sajid Javid mempertahankan pengenalan peraturan yang lebih ketat untuk memperlahankan penyebaran virus itu.

Beliau memberitahu Parlimen bahawa kerajaan tidak boleh mengambil sebarang risiko.

Saintis kini masih menilai varian itu yang pertama kali dilaporkan di Afrika Selatan bulan lalu.

Javid berkata kini terdapat 261 kes Omicron di England, 71 di Scotland dan empat di Wales dengan keseluruhan sebanyak 336.

Ini termasuk kes tanpa kaitan dengan perjalanan antarabangsa, jadi boleh menyimpulkan kini terdapat penularan komuniti merentasi beberapa wilayah di England.

Perdana Menteri Boris Johnson sebelum ini memaklumkan tiada sekatan lanjut diperlukan untuk menangani varian Omicron.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan mengenakan langkah sedemikian sebelum perayaan Krismas.

Britain telah mengumumkan semua pelancong masuk perlu menjalani ujian pra-berlepas COVID-19.

Manakala ketibaan dari Nigeria, Afrika Selatan dan sembilan negara Afrika lain perlu menjalani kuarantin di hotel untuk memperlahankan penyebaran varian baharu itu.