GENEVA: Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) memberi amaran kepada kerajaan untuk tidak bergantung kepada vaksin sahaja bagi menangani peningkatan kes COVID-19.

Amaran dikeluarkan ketika jangkitan di seluruh Eropah melonjak, biarpun ada negara yang catat kadar vaksinasi yang tinggi.

Jelas Ketua Pengarah WHO, Dr Tedros Adhanom Ghebreyesus, organisasi itu bimbang vaksin telah menimbulkan "rasa keselamatan palsu bahawa wabak telah berakhir".

Ini termasuk wujudnya tanggapan mereka yang divaksin tidak lagi perlu mengambil langkah berjaga-jaga.

"Jika anda diberi vaksin, anda akan mempunyai risiko penyakit dan kematian yang jauh lebih rendah, tetapi anda masih berisiko untuk dijangkiti dan menjangkiti orang lain," katanya.

Kenyataan Dr Tedros susulan pendedahan WHO berhubung lonjakan kes sebanyak 11 peratus di Eropah.

Benua itu satu-satunya wilayah di dunia yang terus catat peningkatan kes COVID-19 sejak pertengahan Oktober.

Dalam penilaian mingguan pandemik yang dikeluarkan minggu ini, agensi kesihatan PBB itu berkata kes dan kematian di seluruh dunia telah meningkat kira-kira 6 peratus, dengan 3.6 juta jangkitan dan 51,000 kematian baharu dilaporkan pada minggu sebelumnya.

Beliau menggesa kerajaan untuk "meningkatkan kapasiti memastikan langkah-langkah yang betul telah disediakan untuk mengelakkan implikasi terburuk daripada sebarang gelombang masa depan".

Beliau juga menggesa pemimpin dunia untuk melakukan kebaikan dengan berkongsi vaksin dengan negara berpendapatan rendah.