HALUAN Malaysia akan mengaktifkan Tabung Kemanusiaan Rohingya bagi membantu pelarian etnik itu di kem pelarian Cox’s Bazaar, Bangladesh yang kini menjadi mangsa banjir dan tanah runtuh ekoran musim monsun sehingga meragut banyak nyawa.

Kehidupan pelarian di kem pelarian yang sesak dan serba kekurangan itu bertambah sukar apabila ada yang hilang tempat berteduh selepas khemah rosak akibat ditenggelami banjir dan dihempap tanah runtuh.

Lebih menyulitkan, mangsa juga berdepan kekurangan bekalan makanan dan bahan bakar untuk memasak.

Ketua Unit Rohingya, Biro Misi kemanusiaan Haluan Malaysia, Abdul Bashir Abdul Ghani berkata, berdasarkan laporan kedaan semasa yang diperoleh daripada NGO tempatan, keadaan di kem pelarian itu amat menyedihkan dan memerlukan bantuan yang mendesak.

Menurutnya, atas keprihatinan terhadap penderitaan pelarian Rohingya yang terkesan akibat tragedi monsun itu, pihaknya akan mengaktifkan tabung kemanusiaan bermula minggu hadapan untuk mengerakkan kutipan daripada masyarakat di negara ini.

“Sumbangan melalui kutipan orang ramai yang dilancarkan sebelum ini tidak mencukupi. Jadi, usaha ini akan diteruskan dengan kerjasama NGO lain.

“Saya sendiri cukup terkesan mengenangkan nasib saudara seagama di sana apabila terpaksa berdepan bencana alam itu tanpa bantuan sewajarnya.

“Mereka tidak boleh mengharapkan bantuan pasukan penyelamat untuk menyelamatkan nyawa dan harta benda sebaliknya terpaksa berdepan pelbagai risiko sehingga ada yang terkorban,” katanya ketika dihubungi di sini, pada Selasa.

Beliau yang juga Pengerusi Biro Haluan Palestin dan Biro Misi kemanusiaan Haluan Malaysia Pahang berkata, hasil kutipan yang dikumpulkan akan disalurkan kepada NGO tempatan di sana untuk menguruskannya.

“Buat masa sekarang keperluan yang mendesak adalah bekalan makanan, bahan bakar (gas memasak) dan membaiki serta mengantikan khemah yang rosak.

“Semua keperluan itu akan diuruskan NGO di sana melalui sumbangan tabung kemanusiaan ini yang disalurkan kelak,” katanya.

Katanya, buat masa sekarang usaha menggerakkan misi kemanusiaan dengan menghantar aktivis ke sana berdepan kesukaran ekoran masalah visa apabila kerajaan Bangladesh tidak membenarkan visa bagi misi kemanusiaan.

“Sebaliknya sebelum ini, kami terpaksa menggunakan visa pelancong dan ia amat berisiko.

“Pada masa yang sama, penyaluran bantuan barangan keperluan juga tidak sesuai kerana ada kemungkinan tinggi ia akan ditahan dan dirampas pihak berkuasa di sana sebelum sempat dihantar kepada mangsa di kem pelarian,” katanya.

Menurutnya, pihaknya sedang menyelesaikan masalah visa itu bagi membolehkan aktivis daripada NGO di sini ke sana untuk menghulurkan bantuan.

“Tapi kita tidak boleh tunggu kerana bantuan perlu disegerakan jadi kami membuat keputusan untuk mengaktifkan tabung kemanusiaan ini secepat mungkin dan menyalurkan dalam masa terdekat,” katanya.

“Pada masa yang sama, Haluan Pahang juga akan meneruskan program perkongsian melalui ‘roadshow’ melalui kempen Sinar4Rohingya mengenai penderitaan masyarakat Rohingya disamping mengadakan kutipan sumbangan,” katanya.

Orang ramai yang berhasrat untuk menyumbang boleh menghubungi Abdul Bashir di talian 013-9333316 atau menyalurkan sumbangan melalui akaun Maybank 5622 6350 2611.