Jangkaan cuaca lebih panas dan ancaman strok haba adalah antara cabaran bakal dihadapi 22,320 jemaah Malaysia yang akan menunaikan ibadah haji Ogos depan.

Sehubungan itu, jemaah haji dinasihatkan supaya mengambil langkah berjaga-jaga bermula di tanah air lagi dengan meminum banyak air serta menghidratkan tubuh.

Pengerusi Tabung Haji Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim berkata cuaca panas di Mekah dijangka mencecah lebih 50 darjah selsius berbanding tahun lalu pada 48 darjah selsius.

Jelasnya, daripada 43 kematian jemaah haji tahun lepas, terdapat beberapa kes berpunca daripada strok haba, selain kes krem tumbang, rempuhan, sakit jantung dan kanser.

Beliau ditemui media Malaysia dalam rangka lawatan meninjau persiapan Tabung Haji untuk musim haji tahun ini.

Katanya, ada juga kes serangan strok haba menjadi pencetus kepada kematian apabila jemaah tidak mengambil ubatan mereka secara berjadual untuk mengawal penyakit.

Bagi musim haji kali ini, Tabung Haji menyediakan 600 petugas untuk mengawal selia jemaah haji dan mengambil maklum mengenai keadaan cuaca serta ancaman strok haba.