Percubaan menyeludup masuk 48,000 tin minuman beralkohol ke Arab Saudi berjaya digagalkan pihak kastam kerajaan tersebut.

Sindiket penyeludupan itu sangat licik kerana telah cuba memperdaya pihak berkuasa dengan melabel semula semua tin bir Heineken itu dengan pelekat Pepsi.

Memetik laporan portal berita Saudi Gazette, pihak kastam yang curiga dengan kemasukan puluhan ribu tin minuman berkenaan di sempadan pusat pemeriksaan Al-Batha, telah bertindak mengopek pelekat berkenaan lalu mendapati ia adalah jenama arak popular berkenaan.

Gambar dan video rampasan barang seludup berkenaan turut dimuat naik di akaun Twitter rasmi pihak Kastam Arab Saudi (KSA).

Bir
Label pelekat dengan logo Pepsi digunakan untuk menutup tin minuman keras yang cuba diseludup masuk ke Arab Saudi. - Foto Twitter rasmi KSA Customs

Portal berita Telegraph pula melaporkan, Pengurus Besar pusat pemeriksaan berkenaan, Abdulrahman Al-Mahna, berkata anggota dan pegawainya sentiasa bersedia dengan pelbagai percubaan sindiket yang mahu melanggar undang-undang kerajaan itu melalui pelbagai muslihat.

"Sebuah lori pertama telah ditahan untuk pemeriksaan dan sekali pandang sepertinya ia membawa tin minuman ringan.

"Namun, apabila melalui proses standard pemeriksaan, kami mendapati semua itu adalah tin-tin minuman bir yang dilabel semula dengan logo Pepsi," ujarnya.

Memiliki atau meminum minuman beralkohol adalah satu kesalahan jenayah di Arab Saudi.