MENTERI Pertanian Indonesia dikecam pakar kesihatan kerana mendakwa rantai kayu putih mampu membantu mencegah penularan COVID-19.

Syahrul Yasin Limpo dilaporkan berkata rantai tersebut, jika dipakai untuk 30 minit, mampu “membunuh” kebanyakan koronavirus.

Memetik laporan The Guardian, Syahrul sebelum ini berkata selain rantai tersebut, “roll-on” dan alat penyedut (inhaler) juga akan dihasilkan secara besar-besaran oleh kementerian berkenaan pada Ogos depan.

Susulan menerima kecaman teruk daripada pakar-pakar penyakit berjangkit, kementeriannya telah menarik balik kenyataan berkenaan dan berkata produk berkenaan tidak akan diiklankan sebagai produk yang mempunyai kemampuan untuk mencegah atau menyembuhkan sesorang daripada wabak COVID-19.

Sebaliknya, Ketua Jabatan Penyelidikan dan Pembangunan kementerian itu Fadjry Djufry berkata ia akan diiklankan sebagai produk herba.

Bagaimanapun, Menteri Kesihatan republik itu, Terawan Agus Putranto terus mempertahankan “keberkesanan” rantai tersebut.

Beliau dilaporkan memberitahu media tempatan Kompas TV bahawa orang ramai yang memakai rantai tersebut akan berasa lebih yakin selain ia mampu meningkatkan sistem ketahanan tubuh badan.

Setakat tengah hari Rabu, Indonesia merekodkan 66,226 kes positif jangkitan COVID-19 dan 3,309 kes kematian sekali gus menjadikan negara tersebut paling teruk terjejas di Asia Tenggara.