PLATFORM perkongsian video, YouTube dikatakan sedang menguji format untuk memainkan lebih banyak iklan sebelum pengguna boleh menonton video di platform berkenaan, lapor beberapa portal antarabangsa.

Portal Gizmochina mendakwa pengguna perlu menonton sehingga lima buah iklan, dan mereka tidak diberi pilihan untuk melangkau (skip), sebelum video pilihan mereka dimainkan.

Portal itu turut menyertakan foto yang diperoleh daripada pengguna Twitter, menunjukkan tiga daripada lima iklan sedang dimainkan sebelum pengguna boleh menonton video.

Syarikat itu bertindak balas kepada pengguna melalui akaun TeamYouTube, dengan memaklumkan apa yang dialami pengguna terbabit ialah format iklan yang dipanggil "iklan bamper".

YouTube mendakwa kesemua iklan berkenaan hanya mengambil masa selama enam saat. Pengguna boleh memberi reaksi atau rungutan terhadap format iklan bamper dengan memberikan maklum balas secara terus, tambah mereka.

Mula diperkenalkan pada 2016, iklan bamper dimainkan sama ada sebelum, semasa atau selepas video pilihan dan pengguna tidak mempunyai pilihan untuk melangkau.

Sesetengah pengguna mendakwa format iklan bamper merupakan cara untuk mendorong penonton untuk melanggan perkhidmatan YouTube Premium, yang menyediakan pengalaman menonton tanpa iklan dan ciri lain seperti background play dan muat turun video.