PEMIMPIN Sepanyol dan Portugal memberi tekanan kepada Kesatuan Eropah (EU) untuk mencapai kata sepakat pada akhir bulan ini dengan dana pemulihan bagi membantu 27 negara anggotanya yang menghadapi tekanan ekonomi akibat COVID-19.

Negara-negara Eropah selatan semakin lantang mengenai rundingan berapa banyak dana yang bakal mereka perolehi daripada EU.

Perdana Menteri Sepanyol, Pedro Sanchez dengan yakin berkata pada Isnin, satu kesepakatan akan dicapai dalam bulan ini.

"Adalah penting untuk semua pemimpin EU mengiktiraf Julai sebagai bulan untuk kita mencapai satu perjanjian.

"Kedua, seperti yang dikatakan oleh semua pemimpin Eropah di peringkat nasional, perpaduan menyelamatkan nyawa manusia, menyelamatkan syarikat dan menyelamatkan pekerjaan.

“Jadi, perpaduan boleh menyelamatkan banyak syarikat, banyak pekerjaan dan boleh memperkuatkan projek Eropah pada tahun-tahun akan datang,” katanya.

Sanchez berkata demikian pada satu sidang media bersama Perdana Menteri Portugal Antonio Costa di Lisbon, Portugal.

Dalam pada itu, Suruhanjaya Eksekutif EU telah menyusun rancangan untuk dana pemulihan ekonomi ASD849 bilion yang kebanyakannya adalah geran.

Costa pula berkata, sekarang bukan masa untuk menetapkan 'garis merah' tetapi perlu membuka 'ruang hijau' agar semua mencapai kesepakatan.

“Suruhanjaya Eropah sangat pintar kerana pada masa yang sama menangani keperluan untuk program pemulihan kewangan yang kuat, bertujuan mengatasi dengan cepat masalah yang telah menyekat kita pada Februari, semasa melakar perjanjian mengenai kerangka kerja multi-tahunan kewangan,” ujarnya.

Rancangan itu bagaimanapun mendapat tentangan daripada Austria, Denmark, Belanda dan Sweden yang tidak bersetuju dengan geran dan enggan memberi dana tanpa sebarang ikatan.

Negara EU juga kini sedang merundingkan Bajet 2021-2027.

Pemimpin EU akan berusaha mengatasi perbezaan mereka pada akhir minggu depan di Brussels ketika mereka bertemu untuk sidang kemuncak pertama mereka dalam beberapa bulan.