KUALA LUMPUR: Kerajaan Sri Lanka mengisytiharkan darurat di seluruh negara dan perintah berkurung telah dikenakan di Wilayah Barat negara tersebut.

Polis juga telah menggunakan gas pemedih mata ke atas orang ramai yang melakukan tunjuk perasaan antikerajaan.

Sebelum ini, Presiden Sri Lanka Gotabaya Rajapaksa melarikan diri ke Maldives pada awal Rabu selepas dilaporkan 'terperangkap' di lapangan terbang akibat dihalang pegawai imigresen daripada menaiki pesawat.

Rajapaksa dan isteri meninggalkan kediaman rasminya yang dibanjiri puluhan ribu rakyat terdiri daripada penunjuk perasaan antikerajaan.

Beliau kemudiannya terpaksa bermalam di pangkalan tentera yang terletak bersebelahan lapangan terbang antarabangsa di Colombo.

Rajapaksa, 75 tahun, dipercayai mahu melarikan diri ke luar negara bagi mengelak daripada diberkas sebelum meletakkan jawatan.

Sementara itu, pembangkang utama Sri Lanka akan mencalonkan ketuanya, Sajith Premadasa, sebagai presiden negara itu apabila pilihan raya diadakan di Parlimen pada 20 Julai.

Perkara itu dimaklumkan seorang pegawai Parti Samagi Jana Balawegaya itu kepada agensi berita Reuters pada Selasa.

Pencalonan Premadasa disokong barisan kepimpinan dan akar umbi parti itu.