KUALA LUMPUR: Transisi bagi mewujudkan tenaga baharu yang lebih lestari memerlukan peruntukan dana yang besar serta teknologi yang mencukupi khususnya dalam kalangan negara-negara yang sedang membangun.

Presiden Indonesia Joko Widodo menegaskan ini kerana negara-negara ini sangat bergantung kepada peranan yang dimainkan oleh kerajaan masing-masing dalam mengimbangi keadaan semasa ekonomi negara mereka agar sudahnya tidak membebankan rakyatnya.

“Bagi negara berkembang seperti Indonesia, harus didokong oleh teknologi dan pendanaan agar tidak terlalu membebani masyarakat, terlalu membebani kewangan negara dan terlalu membebani industri.

“Indonesia misalnya memerlukan sekitar AS$50 bilion untuk transformasi untuk menuju ke arah transisi tenaga baharu dan ia turut memerlukan AS$37 bilion untuk sektor perhutanan dan karbon laut.

“Indonesia dan negara-negara berkembang memohon sumbangan daripada negara-negara maju untuk pembiayaan untuk memastikan transisi teknologi ini,” jelasnya ketika berucap secara maya  dalam Davos Agenda 2022 anjuran Forum Ekonomi Sedunia (WEF) dari Istana Bogor Jakarta hari ini.

Katanya, pembabitan sumber pembiayaan terhadap perubahan teknologi ini katanya akan menentukan perubahan tersebut mampu dilaksanakan oleh negara-negara yang sedang membangun ketika ini.

Tambahnya lagi, dilema inilah yang dialami dalam kalangan negara-negara dunia ketiga ketika dunia sedang menuntut agar perlaksanaan kehidupan lestari dicanangkan ketika ini.

Justeru jelasnya lagi, jalinan kerjasama dalam kalangan negara-negara maju adalah penting jika ia benar-benar berhasrat melihat perubahan secara menyeluruh yang turut membabitkan negara-negara yang bukan dalam kelompok negara-negara maju.