ATLANTA: Terdapat keperluan untuk mengemas kini definisi 'lengkap vaksinasi'.

Itu kata Pengarah Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Berjangkit (CDC) Amerika Syarikat (AS), Rochelle Walensky berikutan sebilangan besar individu mulai menerima suntikan dos ketiga atau penggalak.

"Ketika ini, belum ada kelayakan untuk dos penggalak kepada semua individu.

"Pada masa ini definisi 'lengkap vaksinasi' perlu dikemas kini. Kami akan melihat kepada perkara ini.

"Namun sekarang apa yang ingin saya katakan adalah jika anda layak mendapat dos penggalak, teruskan, dapatkannya," kata Walensky.

Namun, katanya, ketika ini, definisi lengkap divaksinasi masih terpakai kepada individu lengkap dua dos (selang masa dua minggu) untuk vaksin Pfizer dan Moderna.

Jelas Walensky, 93 peratus kawasan di AS masih mencatat penularan dalam komuniti yang tinggi atau sederhana dengan jumlah individu masih tidak divaksin seramai 64 juta orang.

Jutaan rakyat AS layak untuk mendapatkan suntikan dos penggalak dengan jenis vaksin berbeza.

Beberapa faktor diambil kira termasuk jenis vaksin pertama dan masa disuntik diambil kira untuk mendapatkan vaksin dos penggalak itu.

Sekiranya individu berusia 65 tahun ke atas dan rentan memulakan vaksinasi dengan Pfizer dan Moderna, mereka layak mendapatkan dos penggalak enam bulan selepas itu.

Namun bagi mereka yang menerima Johnson & Johnson, mereka boleh mendapatkan dos penggalak selepas dua bulan, tanpa mengira peringkat usia.