KIEV: Ukraine terus komited dalam memastikan pendidikan di negara itu diteruskan meskipun masih bergelut dengan konflik dan peperangan dengan Rusia.

Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Transformasi Digital Ukraine, Mykhailo Fedorov berkata, lebih 13,000 terminal Starlink telah dipasang dan sedang digunakan, memastikan sambungan berterusan perkhidmatan internet untuk kemudahan infrastruktur penting termasuk pendidikan.

"Dua tahun yang lalu, kami mula mengajar guru-guru mengendalikan kelas dalam talian. Kita agak berjaya dalam aspek pendidikan semasa pandemik.

"Dan kini semasa perang, kemahiran ini terus membantu kami kerana terdapat internet di sekolah dan guru boleh terus mengajar. Guru-guru kini mahir menggunakan penyelesaian IT yang berbeza untuk pengajaran mereka dan pelajar pula telah terbiasa belajar dalam talian.

“Kami sedang berusaha untuk memastikan sambungan internet yang aktif. Di Ukraine, sudah ada lebih daripada 13,000 terminal Starlink.

"Ia dibawa masuk untuk hospital dan sekolah, di mana sahaja terdapat keperluan. Di sebalik segala yang berlaku, kami yakin bahawa kami akan terus mempunyai akses kepada internet," katanya dalam sesi diskusi bertajuk Save The Children pada Sidang Kemuncak tahunan kedua First Ladies and Gentlemen, yang berlangsung pada Sabtu.

Negara itu kini menggunakan rangkaian satelit projek Starlink SpaceX untuk menyampaikan akses kepada internet jalur lebar.

"Kami telah mencipta sistem IT baharu dan platform yang akan memberi motivasi kepada anak-anak muda untuk belajar coding, mempelajari kemahiran pemasaran digital, menggunakan internet untuk membina masa depan mereka, bukan hanya untuk menggunakan untuk dapatkan maklumat.

"Kami telah melalui berjaya melalui fasa pandemik dan saya yakin kami akan berjaya dalam peperangan ini juga. Ia bukan sahaja mengenai pendidikan mampan tetapi juga membangunkan pendidikan.

"Memandangkan industri sedang membangun, kita perlu bergerak bagi membolehkan daya saing dalam pasaran," katanya lagi.