KUALA LUMPUR: Sebuah syarikat tilam di Singapura mengiklankan jawatan kosong untuk warga republik itu dengan satu jawatan yang tidak pernah ditemui sebelum ini.

Syarikat tilam Sonno menawarkan jawatan Eksekutif Tidur sebagai sebahagian daripada kempen awam iaitu ‘Dibayar Untuk Tidur’ dan bagi membantu kajian dalam mencari rahsia tidur lebih nyenyak.

Kempen awam itu bertujuan untuk menggunakan penemuan tersebut sebagai data bagi menambah baik produk tilam Sonno agar dapat meningkatkan kualiti hidup rakyat Singapura dengan memberikan mereka tidur malam yang lebih nyenyak.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan syarikat tersebut, individu yang diterima sebagai Eksekutif Tidur perlu tidur selama lapan jam sehari selama 100 hari di atas tilam keluaran syarikat itu.

“Jawatan untuk tidur secara profesional akan memberitahu kami apa yang diperlukan untuk tidur lebih lena terutamanya sepanjang musim pandemik dan bagaimana untuk membantu mereka mencapai tujuan itu,” kata pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif Sonno, Fabio Miceli seperti dilapor portal Mothership.

Jawatan itu turut ditawarkan dengan imbuhan sebanyak 1,500 dolar Singapura (RM3,088) sepanjang 100 hari tugasan, ganjaran tilam Sonno bersaiz Queen Original, dua biji bantal dan sehelai cadar percuma.

Calon yang terpilih perlu menggunakan aplikasi ‘Pengesan Tidur’ untuk mengesan pola tidur mereka selama 100 malam mengikut keselesaan bilik tidur mereka sendiri.