Diharamkan berjumpa anak-anak, balasan seksa, kurung, dera 13 anak

Agensi
Januari 25, 2018 03:03 MYT
Pasangan Turpin mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan seksa, dera dan tuduhan lain terhadap anak-anak mereka. REUTERS
Akibat menyiksa dan mengurung anak dalam bilik tidur selama berbulan, sepasang suami isteri diharamkan daripada berjumpa anak-anaknya.
Hakim Mahkamah Riverside County memutuskan perkara itu selepas mendengar penghujahan kedua-dua pihak pada Rabu.
David dan Louise Turpin dilarang berjumpa dengan 13 anak mereka yang berusia antara 2 dan 29 tahun selepas mereka didakwa melakukan penganiayaan terhadap anak-anak itu.
Bagaimanapun, pasangan Turpin itu mengaku tidak bersalah terhadap dakwaan telah menyeksa, mendera dan melakukan beberapa tuduhan lain terhadap anak-anak mereka.
BACA: Pasangan kejam dera, rantai dan kurung 13 anak sambil dibiarkan kelaparan
BACA JUGA: Pasangan suami isteri rantai dan dera anak bertahun
Kesemua 13 beradik itu diselamatkan dari rumah mereka pada 14 Januari lalu.
Kisah sebenar keluarga itu terbongkar setelah salah seorang daripada mereka berjaya melarikan diri.
Anak yang berusia 17 tahun itu pergi ke balai polis dan melaporkan kepada pihak berkuasa mengenai pengalaman mereka diseksa ibu bapa sendiri.
Polis yang menyerbu kediaman pasangan suspek tersebut menemui sebahagian dari mangsa dirantai dengan rantai besi dan dimangga.
Rumah keluarga itu pula dalam keadaan menyedihkan dan terlalu kotor.
Sementara itu, kakak kepada Louise Turpin memaklumkan, dia pernah memohon untuk berjumpa anak-anak saudaranya meskipun melalui Skype, namun pasangan kejam itu tidak membenarkannya.
Ibu saudara yang mengambil berat mengenai anak-anak itu turut menggambarkan keluarga itu sebagai bahagia dan tidak menyangka apa yang berlaku ialah sebaliknya.
"Dengan gambar-gambar yang mereka muat naik di Facebook, anda akan menganggap mereka satu keluarga yang bahagia,“ katanya.
Bagi ibu bapa David Turpin pula, mereka amat terkejut dengan apa yang berlaku.
#anak-anak #dera #keluarga #Keluarga Turpin #kurung #mahkamah #mangsa #seksa