BANGKOK: Timbalan Perdana Menteri Thailand yang juga Menteri Kesihatan Awam, Anutin Charnvirakul menggesa pihak polis negara itu menguatkuasakan undang-undang terhadap penjual ganja dalam usaha mengekang penyalahgunaan ganja di tempat awam termasuk di sekolah.

Anutin, lapor Bangkok Post, menyatakan kebimbangannya semenjak negara itu mengeluarkan ganja dari senarai narkotik pada 9 Jun lalu. Langkah itu sebenarnya hanya untuk kepentingan industri perubatan, namun tumbuhan itu telah banyak disalah guna bagi tujuan rekreasi.

Tindakan kerajaan memberi lampu hijau bagi pemprosesan bagi tujuan perubatan dan penanaman di rumah bagi kumpulan yang berdaftar telah disalah erti, apabila ramai menyangka penggunaan ganja kini boleh dilakukan sebebas-bebasnya.

Sesetengah pihak didapati menjual ganja dalam rokok gulung secara terbuka di tempat awam, sedangkan pada masa yang sama terdapat larangan bahawa ia tidak boleh dijual beli atau dihisap di tempat awam, kata Anutin.

BACA: Majoriti peserta kaji selidik rakyat Thailand bimbang kelonggaran ke atas ganja

BACA: PM Thailand keluarkan larangan penggunaan ganja bagi tentera

BACA: Thailand haram guna ganja di universiti

BACA: Sejuta ganja mula diedar di seluruh Thailand

"Orang ramai akan lebih berjaga-jaga akan hal ini jika penguatkuasaan dilakukan,” katanya yang menggesa pihak berkuasa segera bertindak.

Ditanya berkenaan kanak-kanak yang menghisap ganja dalam kawasan sekolah, Anutin berkata itu memang perkembangan yang membimbangkan.

Kementerian Kesihatan Awam dan Pendidikan telah menggariskan bahawa mereka yang di bawah usia 10 tahun tidak dibenarkan mengambilnya atau membawanya ke sekolah.

Nyahsenarai ganja dari senarai narkotik terlarang telah dibuat oleh Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri dan pakar undang-undang Wissanu Krea-ngam, dengan penyertaan agensi-agensi berkaitan.

Sekarang ini, Akta Kanabis dan Hemp sedang diperinci di Parlimen dan dijangka selesai bulan depan. Akta itu akan mengawal aspek penggunaan kanabis dan pengeluarannya, termasuk kepada siapa ia boleh dijual, serta peraturan yang wajib dipatuhi pengeluarnya.