Drama tebusan di kedai Apple berakhir, suspek ditahan

Astro Awani
Februari 22, 2022 23:12 MYT
Polis mengepung kawasan tersebut sejurus kejadian dan meminta orang ramai untuk meninggalkan kawasan berkenaan. - Foto REUTERS
AMSTERDAM: Polis Belanda menahan seorang lelaki yang menyerang sebuah kedai syarikat teknologi Apple di Amsterdam serta menahan seorang tebusan selama beberapa jam pada Selasa.
Lelaki berkenaan ditahan ketika cuba melarikan diri daripada bangunan tersebut yang terletak di Leidseplein pada 10.30 malam waktu tempatan.
"Kami telah berjaya menamatkan situasi ini dan menahan seorang lelaki ketika cuba melarikan diri," kata polis dalam catatan terbaharu di akaun Twitter rasmi.
Suspek yang cedera ketika ditahan itu sedang menerima rawatan.
Tiada butiran diberikan tentang suspek mahupun punca kejadian.
Ketika insiden itu berlaku, beberapa saksi menyatakan terdengar beberapa das tembakan dilepaskan di kedai berkenaan.
Kejadian berlaku kira-kira jam 5.30 petang waktu tempatan selepas seorang lelaki menyerang kedai berkenaan dipercayai untuk tujuan rompakan.
Polis mengepung kawasan tersebut sejurus kejadian dan meminta orang ramai untuk meninggalkan kawasan berkenaan.
#tebusan #rompakan #Apple #suspek