WASHINGTON: Dua remaja perempuan berusia 13 dan 15 tahun didakwa atas pertuduhan membunuh secara kejam seorang penghantar makanan warga Pakistan dalam cubaan menyamun menggunakan pistol pegun, di Washington, minggu lalu.

Aksi dua remaja itu turut dirakam orang ramai sebelum video itu menjadi tular di media sosial.

Dalam video berdurasi 1 minit 30 saat itu, mangsa, Mohammad Anwar, 66, dilihat cuba menghentikan kenderaannya daripada dilarikan dua remaja itu, namun kereta itu meluncur laju tahkala mangsa masih lagi berpaut pada kenderaan tersebut.

Kereta Honda Accord yang dipandu salah seorang suspek dilihat hilang kawalan merempuh bahu jalan yang menyebabkan kenderaan itu terbalik dan mangsa tercampak keluar ke kaki lima.

Sejurus itu, juga kelihatan salah seorang suspek memanjat keluar daripada kenderaan yang terbalik itu sebelum diberkas.

Sehingga petang Ahad, video yang dikongsi di Twitter ditonton lebih 5.5 juta kali.

Berdasarkan maklumat awal, kedua-dua suspek itu berasal dari Columbia dan Fort Washington, Maryland.

Mangsa yang tinggal di bandar Springfield, Virginia dikatakan sedang menghantar makanan menerusi perkhidmatan Uber Eats ketika kejadian.

Anwar adalah antara ribuan warga Pakistan yang berhijrah ke Amerika Syarikat untuk masa depan yang lebih cerah.

Kematian Anwar turut mendapat perhatian orang ramai yang menjalankan kempen GoFundMe, untuk mengumpul sumbangan kepada keluarga mangsa.

Setakat Ahad, lebih AS$500,000 (RM2.1 juta) berjaya dikumpul sebagai kos pengebumian serta kepada keluarganya.

Seorang wakil Uber menyifatkan mangsa sebagai seorang suami, bapa, datuk dan sahabat yang baik.

"Insiden ini betul-betul tragis dan saya bersimpati dengan keluarga Anwar untuk tabah mengharungi detik yang sukar ini," kata wakil itu yang tiadk mendedahkan namanya.