SAAT ini, industri hiburan Indonesia kecoh memperkatakan mengenai penyanyi dan pelakon tersohor Bunga Citra Lestari yang dikhabarkan sudah bertemu kekasih baharu.

Berdasarkan laporan media tempatan, Bunga Citra Lestari atau lebih mesra disapa BCL didakwa sedang menjalin hubungan cinta dengan seorang duda tampan, Tiko Aryawardhana.

Kehadiran Tiko yang juga bapa tunggal kepada tiga orang anak itu di majlis ulang tahun kelahiran ke-40 isteri Allahyarham Ashraf Sinclair itu baru-baru ini menguatkan lagi dakwaan berkenaan.

Bahkan, Tiko juga dikhabarkan sering menemani BCL ke pelbagai acara lain sekali gus membuatkan wartawan dan peminat-peminat artis yang juga ibu tunggal kepada seorang anak, Noah Aidan Sinclair terus berteka-teki.

Sehingga kini juga, penyanyi dan pelakon popular itu masih belum terbuka bercerita mengenai kisah cintanya.

Sementara itu, pencarian maklumat mengenai Tiko mendapati lelaki itu bertugas dalam industri kewangan dan perbankan di sebuah bank terkemuka.

Pada majlis hari kelahiran BCL tempoh hari, Tiko juga menghadirinya dan dikatakan dia begitu mesra dengan BCL sepanjang acara berlangsung.

Kehidupan peribadi BCL mendapat perhatian meluas media tempatan selepas dia kehilangan suaminya, Allahyarham Ashraf Sinclair yang juga seorang artis popular dari Malaysia pada 18 Februari 2020.

Ashraf menghembuskan nafas terakhir pada usia 41 tahun akibat serangan jantung

BCL dan Ashraf mendirikan rumah tangga pada 8 November 2008 di Jakarta dan dikurniakan seorang cahaya mata, Noah yang kini berumur 13 tahun.