NAIROBI: Masyarakat dunia sudah tiada masa untuk merancang dan mencari penyelesaian dalam isu perbandaran kerana hakikatnya dunia mengalami krisis terbesar yang dihadapi secara serentak.

Pengarah Eksekutif UN-Habitat, Datuk Seri Maimunah Shariff menggesa semua komuniti untuk bertindak segera menyelesaikan isu berkaitan perubahan iklim, krisis berganda akibat COVID-19 dan isu kewangan yang mendesak.

Justeru Perhimpunan UN-Habitat yang bermula Isnin sehingga 9 Jun depan di sini, akan menjadi platform untuk peserta di pelbagai peringkat untuk mencapai resolusi bersama berteraskan lima fokus utama.

Menurut Maimunah fokus utama itu ialah perumahan, perubahan iklim, melaksanakan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) di peringkat tempatan, krisis-krisis semasa serta isu kewangan dan pendanaan.

Maimunah menegaskan, pelbagai krisis yang kompleks yang dihadapi dunia pada hari ini telah memperlahankan usaha untuk mencapai SDG.

“Kita cuma ada masa tujuh tahun sahaja lagi sebelum kita sepatutnya mencapai sasaran SDG pada 2030, tetapi adakah kita dapat mencapainya?.

“Kalau dirujuk Laporan Bandar Dunia yang dikeluarkan, impak COVID-19 telah menyebabkan pertambahan 164 juta orang jatuh miskin pada 2021 berbanding 114 juta orang pada 2020. Ini satu peningkatan yang mendadak.

“Begitu juga kita melihat kesan perubahan iklim yang begitu jelas pada hari ini. Dengan banjir, cuaca panas yang berpanjangan, tanah runtuh dan sebagainya, adakah kita mampu untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan?," katanya di sini.

Perhimpunan UN-Habibat yang merupakan platform perbincangan tertinggi dalam sistem Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk membincangkan isu perbandaran dan penempatan, akan menyaksikan penglibatan lebih 5,000 peserta pelbagai peringkat termasuk lebih 83 menteri dari 193 negara anggota.

Kali terakhir perhimpunan ini dianjurkan ialah pada tahun 2019.