BEIJING: Pemulihan ekonomi China membawa sumbangan besar terhadap ekonomi global, kata Pengarah Urusan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Kristalina Georgieva pada Ahad.

Menurut beliau, meskipun jangkaan keadaan ekonomi global menjadi lemah, namun IMF menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi China bagi 2023 kepada paras 5.2 peratus didorong pemulihan yang kuat dan mampan selepas pelarasan dasar COVID-19.

"Ekonomi China yang kian pulih diyakini mampu menyumbang satu pertiga daripada pertumbuhan global pada 2023 dan ia merupakan dorongan yang kuat buat situasi dunia.

"Kami (IMF) mengunjurkan setiap satu mata peratusan pertambahan kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) China akan memacu 0.3 mata peratusan pertumbuhan entiti ekonomi Asia yang lain," kata beliau ketika berucap pada Forum Pembangunan China 2023.

Kristalina turut menghargai peralihan pertumbuhan ekonomi China yang dipacu perbelanjaan daripada pelaburan sebagai lebih mapan, tidak bergantung kepada hutang dan lebih sesuai untuk menangani cabaran iklim.

Dalam pada itu, ketua Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara (NDRC), Zheng Shanjie menyatakan pihaknya akan terus melahirkan idea kreatif melalui tindakan yang inovatif serta menambah baik kawalan makro.

"Selain permintaan domestik terus dipertingkat, koordinasi dasar membabitkan kewangan, perindustrian, pelaburan, perbelanjaan dan lain-lain akan giat dilaksana ke arah pembangunan berkualiti," kata beliau.
- BERNAMA