SEOUL: Eksport album K-pop Korea Selatan mencecah paras tertinggi baharu tahun lepas dengan data pada Isnin menunjukkan pandemik COVID-19 menyumbang kepada peningkatan permintaan ke atas album fizikal.

Eksport album K-pop mencecah AS$233.113 juta pada 2022, meningkat 5.6 peratus daripada tahun sebelumnya, menurut agensi berita Yonhap memetik statistik perdagangan import dan eksport Perkhidmatan Kastam Korea (KCS).

Angka tahun lepas mengatasi jumlah tertinggi sebelumnya bernilai AS$220.85 juta yang direkodkan pada 2021.

Jualan album K-Pop meningkat melepasi AS$100 juta pada 2020 dan AS$200 juta pada 2021 memandangkan peminat K-pop di luar negara memilih untuk membeli album sebagai tanda sokongan kepada bintang kegemaran mereka selain tidak dapat melihat mereka secara langsung di konsert dan acara langsung lain akibat pandemik COVID-19.

Jepun mengimport album K-pop paling banyak tahun lepas berjumlah AS$85.74 juta. Ini diikuti China dan Amerika Syarikat yang masing-masing mengimport AS$51.33 juta dan AS$38.88 juta, Taiwan, Belanda, Thailand, Hong Kong, Jerman, Indonesia dan Perancis, menurut Yonhap.

Label K-pop lazimnya tidak mendedahkan butiran jualan album oleh artis mereka.

Kumpulan lelaki terkemuka seperti BTS, Stray Kids dan Seventeen serta kumpulan gadis baharu yang mendominasi carta muzik tahun lepas merupakan pemacu utama aliran menaik itu berdasarkan pelbagai carta album bagi tahun itu yang menggabungkan jualan domestik dan luar negara.

Menurut laporan itu, album paling banyak terjual tahun itu adalah "Proof," album antologi oleh BTS yang terjual sebanyak 3.48 juta salinan, menurut carta album tahunan oleh Circle Chart, yang merupakan penanda aras carta K-pop negara.

Ini diikuti "Maxident," EP ketujuh oleh Stray Kids dengan 3.18 juta salinan. Seventeen dan BLACKPINK menjual 2.87 juta salinan dan 2.52 juta salinan bagi album "Face the Sun" dan "Born Pink" masing-masing.

Ive, salah satu sensasi baharu 2022, menduduki tempat ke-10 dalam carta berjaya menjual 1.65 juta salinan bagi single ketiganya, "After Like", tambahnya.

-- BERNAMA