KETUA Pegawai Eksekutif Tesla Inc, Elon Musk sedang 'memikirkan dengan serius' untuk membina sebuah platform media sosial baharu, kata jutawan itu dalam satu ciapan pada hari Sabtu.

Musk menjawab soalan pengguna Twitter sama ada dia akan mempertimbangkan untuk membina platform media sosial yang berasaskan algoritma terbuka dan akan mengutamakan kebebasan bersuara, di mana propaganda adalah minimum.

Musk, yang juga pengguna Twitter yang aktif, kerap mengkritik platform media sosial sejak akhir-akhir ini dengan mendakwa ia menjejaskan demokrasi apabila gagal mematuhi prinsip kebebasan bersuara.

Ciapan itu dibuat sehari selepas dia mengeluarkan tinjauan pendapat Twitter, bertanyakan pengguna jika mereka percaya Twitter mematuhi prinsip kebebasan bersuara, dengan lebih 70 peratus mengundi "tidak".

"Hasil undian ini adalah penting. Sila undi dengan teliti," katanya pada Jumaat.

Jika Musk memutuskan untuk meneruskan dengan mencipta platform baharu, dia akan menyertai portfolio beberapa syarikat teknologi lain yang meletakkan diri mereka sebagai champion dalam kebebasan bersuara dan aktif mempromosikan perkara itu di platform Twitter, Facebook dan YouTube.