ANKARA: Elon Musk menarik balik keputusan menyekat akaun Twitter milik beberapa wartawan terkemuka atas dakwaan mendedahkan lokasi masa nyata (real time) jutawan itu selepas mengadakan tinjauan di media sosial berkenaan, lapor Agensi Anadolu.

"Orang ramai telah bersuara. Akaun yang menjejaki keberadaan saya akan dikembalikan sekarang," menurut ciapan Musk di Twitter.

Antara akaun yang disekat tanpa sebarang notis atau penjelasan ialah Matt Binder dari Mashable, Donie O'Sullivan dari CNN, Ryan Mac dari The New York Times, Drew Harwell dari The Washington Post, Micah Lee dari The Intercept, Steve Herman dari Voice of America dan wartawan bebas Aaron Rupar, Keith Olbermann dan Tony Webster.

Keputusan itu dibuat sehari selepas platform itu menyekat akaun popular, @ElonJet yang dikhususkan menjejaki pesawat peribadi Musk.

Musk memberi respon mengenai sekatan itu pada Khamis menerusi ciapannya yang berbunyi: "Tiada masalah untuk mengkritik saya sepanjang hari, tetapi ia menjadi masalah jika menyiarkan maklumat lokasi secara masa nyata saya dan membahayakan keluarga saya." - BERNAMA