RIO DE JANEIRO: Empat kanak-kanak terbunuh manakala empat lagi cedera dalam insiden serangan di sebuah prasekolah di Blumenau, selatan Brazil pada Rabu.

Mangsa maut, tiga kanak-kanak lelaki dan seorang kanak-kanak perempuan, berusia antara 5 dan 7 tahun, kata polis.

Menurut Gabenor Santa Catarina, Jorginho Mello, seorang suspek lelaki telah ditahan.

Seorang pegawai polis memberitahu agensi berita CNN Brazil, suspek yang berusia 25 tahun, dipercayai telah memanjat pagar Pusat Asuhan Cantinho Bom Pastor sebelum menyerang kanak-kanak berkenaan.

Suspek kemudian berjaya melarikan diri namun menyerah diri kepada polis tidak lama kemudian.

Pihak polis tidak menyatakan motif di sebalik serangan tersebut dan insiden itu kini masih dalam siasatan.