Sekurang-kurangnya empat maut dalam insiden letupan di sebuah masjid di tenggara Pakistan pada Jumaat.

Kejadian yang berlaku ketika solat Jumaat itu turut mencederakan 20 jemaah yang lain.

Menurut pihak polis, bom tersebut diletakkan di bawah kerusi kayu berhampiran imam.

Antara yang maut termasuk imam masjid berkenaan yang terletak 25 kilometer dari bandar Quetta.

Quetta adalah ibu kota wilayah Balochistan, yang kini bergolak akibat pertempuran antara pihak pemberontak dan militan.

Bagaimanapun, setakat ini tiada pihak mengaku bertanggungjawab terhadap kejadian tersebut.

Angka kematian dijangka meningkat memandangkan ada mangsa yang cedera parah.