UTTAR PRADESH: Polis di utara India menahan enam individu yang dipercayai terbabit dalam kejadian rogol dan membunuh dua remaja perempuan yang ditemui tergantung pada sebatang pokok.

Menurut polis tempatan, mayat adik-beradik itu, masing-masing berusia 15 dan 17 tahun, ditemui di daerah Lakhimpur Kheri, Uttar Pradesh.

Pegawai polis tempatan, Sanjeev Suman berkata empat tertuduh mengumpan kedua-dua mangsa ke sebuah padang dan merogol mereka.

Siasatan terperinci berhubung kejadian itu masih belum diketahui.

Namun tambahnya, siasatan awal mendapati gadis-gadis itu dijerut dengan selendang dan digantung pada sebatang pokok selepas dirogol.

Keganasan terhadap wanita terutama daripada golongan bawahan adalah endemik di India, di mana segelintir masih mengguna pakai sistem kasta kuno.

Keluarga mangsa memberitahu polis bahawa dua gadis perempuan itu diculik oleh lelaki bermotosikal, sebelum dirogol dan kemudiannya dibunuh.

Timbalan Ketua Menteri Uttar Pradesh, Brajesh Pathak, berkata kerajaan akan bertindak bagi memastikan keluarga mangsa mendapat keadilan.

Ujar beliau, kerajaan memandang serius kejadian seperti itu dan pihanya akan mengambil tindakan paling tegas mengikut laras undang-undang.