CHESAPEAKE: Sekurang-kurangnya enam kakitangan di sebuah pasar raya maut manakala enam lagi cedera dalam insiden tembakan di Virginia, Amerika Syarikat (AS) pada Rabu.

Menurut polis, siasatan awal mendapati insiden berlaku di bilik kakitangan pasar raya Walmart di Chesapeake.

Tambahnya suspek, yang juga seorang kakitangan di pasar raya itu, membunuh diri selepas kejadian.

Ketika ini punca kejadian masih disiasat dan polis tidak mengesan suspek lain yang terlibat dalam insiden tersebut.

Suspek dikenal pasti sebagai Andre Bing, 31, dan melakukan serangan tersebut menggunakan sepucuk pistol.

Menurut Walmart, Bing merupakan ketua pasukan petugas malam yang bekerja di pasar raya itu sejak tahun 2010.

"Kami kini menumpukan segala usaha kami terhadap ahli keluarga serta rakan mangsa," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

Dua daripada enam mangsa cedera itu dilaporkan dalam keadaan kritikal manakala seorang lagi dalam keadaan stabil.