ANDES: Enam spesies baharu katak hujan dilaporkan telah ditemui di pinggir timur Andes, Ecuador.

Memetik laporan CNN, Kementerian Alam Sekitar, Air dan Peralihan Ekologi Ecuador memaklumkan tiga penyelidik dari Universiti Katolik Pontifical Ecuador dan Institut Biodiversiti Kebangsaan menemui spesis katak di Llanganates dan Taman Negara Sangay.

Profesor Santiago Ron, salah seorang daripada tiga penyelidik memberitahu penemuan enam spesies baharu katak ini mengambil masa empat tahun.

"Penemuan ini terhasil semasa beberapa ekspedisi ke tempat terpencil di hutan awan Amazon pada 2008, 2015 dan 2017. Selepas itu, kami menganalisis data dan menghasilkan penerbitan," katanya.

Kesemua katak ditemui tergolong dalam kelompok Pristimantis yang merangkumi lebih daripada 569 spesies yang hidup di timur Honduras, Panama, utara Argentina dan Brazil.

Menurut sebuah kajian mengenai penemuan yang diterbitkan dalam jurnal PeerJ, enam spesis katak ini berbeza dengan kebanyakan katak kerana tidak bergantung pada air untuk pembiakan dan bertelur di darat.

Ron berkata bahawa mereka menamakan salah seekor katak sebagai “Resistencia” (Penentang) sebagai tanda penghormatan kepada salah seorang pecinta alam sekitar yang telah dibunuh di Amerika Latin kerana mempertahankan alam.

“Untuk tempoh 10 tahun ketika itu, Amerika Latin telah menjadi wilayah paling berbahaya bagi pecinta alam sekitar," katanya.

Memandangkan maklumat tentang populasi katak hujan ini masih tidak mencukupi, para penyelidik menyarankan agar spesies baharu ini dimasukkan dalam kategori Kekurangan Data dalam Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam Semula Jadi - sistem mengklasifikasikan spesies berisiko tinggi pupus.

Untuk info, Ecuador memiliki 669 spesies amfibia, menjadikannya negara ketiga dengan spesis paling pelbagai di dunia selepas Brazil dan Colombia.