Erdogan gelar Israel negara ganas

Astro Awani
Disember 10, 2017 23:41 MYT
Peserta demonstrasi mengibarkan bendera Turki dan Palestin ketika mengadakan protes menentang pengiktirafan Donald Trump terhadap Baitulmaqdis di Istanbul, Turki, 10 Disember, 2017. REUTERS
Suara bantahan isu Baitulmaqdis terus bergema di Turki seiring dengan suara Presidennya Recep Tayyip Erdogan.
Pada Ahad, parti Islam Turki mengadakan perhimpunan di Istanbul sebagai solidariti berterusan rakyat Turki terhadap nasib rakyat Palestin.
Dianggarkan lebih 10,000 penunjuk perasaan berkumpul, melaungkan slogan dan mengibarkan bendera Turki dan Palestin.
Dalam ucapan awamnya pada Ahad, Erdogan, pengkritik tegar Israel, menggelarnya "negara penyerang" dan "negara ganas"
Tegasnya, Turki akan meneruskan usaha diplomatiknya untuk mengubah keputusan yang dibuat Presiden Amerika Syarikat Donald Trump minggu lepas.
Trump pada Rabu dilaporkan secara rasmi mengiktiraf Baitulmaqdis sebagai ibu kota Israel yang membawa kepada protes dalam kalangan masyarakat Islam di seluruh dunia.
Malah Erdogan dilihat sangat konsisten dengan kelantangannya mengkritik sikap Trump terhadap Palestin sebelum pengumuman itu dibuat lagi.
#Islam #Israel #Istanbul #keganasan #perhimpunan #presiden #rakyat #Turki